Maut berdengkur

Oleh Hafizah Iszahanid


OSA perlukan rawatan kerana ia masalah serius dan sangat berbeza dengan masalah dengkuran biasa


BERDENGKUR mungkin tanda keletihan, tetapi apabila dengkuran itu mengganggu lena teman tidur, ia sebenarnya satu seksaan.

Berdengkur adalah normal. Malah, dalam kajian Synovate Omnibus Jun lalu, 62 peratus mereka sudah berkahwin tidur berdengkur. Daripada jumlah itu, 63 peratus adalah Melayu, membabitkan 66 peratus lelaki.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Lam Wah Ee Pulau Pinang, Dr K Gopalan Nair, berkata dengkuran terjadi apabila udara tidak boleh bebas keluar masuk melalui hidung dan mulut ketika tidur.

Katanya, apabila tidur, otot di belakang mulut seperti lelangit, lidah dan tekak berehat. Bagaimanapun, jika terlalu rehat, ia akan mengecil atau menyekat aliran udara.

“Apabila anda menarik nafas, lelangit dan anak tekak akan bergetar dan menghentak sesama sendiri sekali gus menghasilkan bunyi dengkuran,” katanya.

Tonsil dan adenoids - tisu yang mengembang di belakang kerongkong juga akan bergetar dan semakin sempit laluan udara, semakin banyak tisu bergetar sekali gus menyebabkan dengkuran semakin kuat.

“Dengkur adalah normal dan ia lebih banyak dikesan pada lelaki berbanding perempuan. Berdengkur ada kalanya disebabkan badan terlalu letih atau gemuk. Ada kalanya ia boleh ditangani dengan mengubah cara hidup seperti menurunkan berat badan atau berhenti merokok,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga kes berdengkur sebenarnya adalah simptom obstacle sleep apnea (OSA). OSA adalah masalah dengkuran yang sangat serius dan boleh membawa maut. OSA berbeza dengan dengkuran biasa kerana seseorang itu akan berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih dalam tidurnya.

Aliran pernafasan yang normal pada waktu tidur adalah 70 hingga 100 peratus tetapi jika apnea berlaku, anda akan berhenti bernafas atau hanya bernafas 25 peratus saja daripada kadar biasa.

Dr Nair berkata, OSA memerlukan rawatan kerana ia masalah serius dan sangat berbeza dengan masalah dengkuran biasa.

Punca berdengkur.

A) Faktor fizikal

  • Rahang yang rendah

  • Hidung tersumbat

  • Tonsil bengkak atau anak tekak yang besar

  • Berusia

  • Putus haid



    B) Faktor gaya hidup

  • Obes

  • Mengambil alkohol

  • Pengambilan sesetengah jenis ubat

  • Merokok

  • Alahan bermusim seperti selesema dan hidung gatal.



    Rawatan berdengkur

  • Jika anda gemuk, mulakan dengan menurukan berat badan.

  • Berhenti merokok dan mengambil minuman keras.

  • Ubah posisi tidur. Jika anda tidur telentang, lidah akan mudah jatuh ke belakang tekak dan menyekat aliran udara. Jika anda tidur mengiring kemungkinan berdengkur agak berkurangan.

  • Gunakan bantal yang tebal untuk meningkatkan aliran udara

  • Jika anda berhadapan dengan masalah alahan, kenal pasti pencetus alahan.

  • Semburan hidung bagi mengatasi hidung yang tersumbat.

  • Terapi gantian hormon bagi mereka yang putus haid

  • Pembedahan jika ia bersesuaian dengan masalah yang anda hadapi dan dicadangkan oleh doktor.

  • Terbaru di pasaran, pelekat mengelak dengkuran, hidung tersumbat dan memudahkan aliran pernafasan yang dibangunkan oleh Glaco SmithKline (GSK). Dikenali sebagai ‘Breathe Right” ia membantu anda bernafas dengan lebih baik dan tidak berdengkur. Begitupun, ia bukan tidak boleh menyembuhkan masalah dengkuran sepenuhnya dan tidak boleh digunakan oleh pesakit OSA. Ia hanya mengelak anda berdengkur untuk tempoh 12 jam.

  • Breathe Right sudah ada di pasaran dan ia mungkin penyelesaian terbaik untuk anda yang berdengkur kerana keletihan atau anda yang berdengkur kerana hidung tersumbat atau selesema.
  • Comments